Selasa, 6 Julai 2010

Utara: Jawatankuasa Mesra Masyarakat perlu diaktif


2010/07/06

SEBERANG JAYA: Jawatankuasa Mesra Masyarakat perlu diaktifkan semula di sekolah bagi menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah.

Jawatankuasa itu yang membabitkan penyertaan masyarakat sekitar sekolah seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu dengan sekolah bagi membendung masalah berkenaan, pernah diwujudkan pada tahun 60-an.
Katanya, masyarakat dan NGO tidak boleh membebankan tanggungjawab menangani masalah itu kepada sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) saja, sebaliknya bersama membantu.
"Jawatankuasa itu pernah diwujudkan sekitar 1960-an bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendekati sekolah dan berganding bahu menganjurkan pelbagai program bagi kepentingan pelajar," katanya.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perpaduan dan Kebajikan Rakyat Negeri Pulau Pinang berkata demikian selepas merasmikan Program Mesra Masyarakat Sembilang sempena Hari Kokurikulum dan Kerjaya Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya (SMKSJ) di sekolah itu di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Pegawai Pelajaran Seberang Prai Tengah, Hassan Mohamad; Pengetua SMKSJ, Fadilah Mohd Zain dan Yang Dipertua PIBG SMKSJ, Mohd Fadzillah Abd Rauf.

Program itu anjuran bersama SMKSJ, Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya dan Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (PEMADAM).
SMKSJ berjaya mengumpul sebanyak RM25,000 daripada hasil jualan makanan dan minuman kepada 1,200 pelajar, termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat sempena program berkenaan.

Kutipan jualan itu akan digunakan untuk membantu kelab atau persatuan sekolah melaksanakan pelbagai program kokurikulum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan