Khamis, 15 Julai 2010

Sentral: Jambatan roboh kesan korek pasir
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail dan Sarah Sulaiman

2010/07/16

PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung 
Persekutuan  Kampung Rinching Hulu, Maarof Abdul Ghani menunjukkan 
jambatan senget dan hampir roboh akibat hakisan kesan kerja mengorek 
pasir di tanah rizab sungai.
PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Rinching Hulu, Maarof Abdul Ghani menunjukkan jambatan senget dan hampir roboh akibat hakisan kesan kerja mengorek pasir di tanah rizab sungai.
SEMENYIH: Sebuah jambatan yang menjadi laluan utama dan penghubung Kampung Rinching Hulu dan Kampung Rinching Tengah di sini, hampir roboh akibat hakisan, kesan daripada kegiatan mengorek pasir di kampung itu.

Jambatan yang digunakan penduduk untuk ke masjid dan sekolah rendah itu rosak teruk tiga hari lalu selepas kawasan berkenaan yang digondolkan beberapa bulan lalu dinaiki air hingga memaksa penduduk menggunakan laluan lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Rinching Hulu, Maarof Abdul Ghani, berkata kerja mengorek dan mengambil pasir di kawasan tanah rizab sungai itu berlaku pada Februari lalu dan dihentikan Mei lalu.
Click Here
Beliau berkata, ketika memulakan operasi mengorek dan mengambil pasir beberapa bulan lalu beliau tidak dimaklum atau diberikan sebarang dokumen mengesahkan kerja berkenaan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Penduduk termasuk pemilik tanah, dusun dan kebun tidak mengambil kisah kerana mereka dibayar RM900 sebulan untuk bekerja dengan tauke pasir itu termasuk menjaga keselamatan jentera.

“Bagaimanapun, apabila projek dihentikan mereka mula bising selepas tanah dan jalan bertar rosak, manakala pokok di kebun yang terletak berhampiran sungai tumbang,” katanya kepada Sentral di sini, kelmarin.

Tinjauan mendapati ada kesan mengorek pasir yang teruk sehingga menyebabkan tebing sungai di kiri dan kanan runtuh.
Maarof berkata, kegiatan mengorek dan mengambil pasir itu juga menyebabkan empat sungai di kawasan terbabit iaitu Sungai Broga, Sungai Rinching Hulu, Sungai Rinching Tengah dan Sungai Batu Tiga terjejas dan menjadi keruh.

“Penduduk kesal dengan apa yang berlaku kerana selepas habis mengambil pasir jentera yang beroperasi terus menghilangkan diri dan membiarkan penduduk menerima kesan daripada kegiatan mengorek pasir itu,” katanya.

Katanya, beliau percaya masa yang lama diperlukan untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri bagi membina jambatan baru.

“Saya difahamkan kegiatan itu akan dijalankan lagi di kawasan berkenaan berdasarkan banyak lagi projek perumahan yang akan dibina di daerah berkenaan.

“Kita berharap pihak berkuasa termasuk kerajaan Selangor menangani masalah ini segera supaya kampung lain berhampiran tidak menjadi mangsa seperti kampung kami,” katanya

Rabu, 7 Julai 2010

Utara: Bimbang, fobia
Oleh Rahmat Othman
bhnews@bharian.com.my
2010/07/02

Kehadiran ramai orang kurang siuman dikhuatiri ganggu keselamatan masyarakat

ALOR SETAR: Kehadiran ramai orang dipercayai kurang siuman yang mundar mandir di sekitar bandar raya ini bukan saja boleh menjejaskan pemandangan, malah dikhuatiri boleh mengancam keselamatan orang ramai.
Orang ramai bimbang kemungkinan mereka bertindak di luar jangkaan, termasuk mengganggu penduduk yang berurusan di sekitar bandar raya ini, terutama wanita dan kanak-kanak.
Tinjauan Edisi Utara mendapati orang kurang siuman terbabit kerap menjadikan kawasan kaki lima dan tempat menunggu bas atau teksi sebagai tempat mereka melepak atau tidur, selain menagih simpati mendapatkan makanan atau rokok.

Malah, ada juga di antara mereka yang melepak di kaki lima bangunan sehingga menakutkan orang yang lalu lalang dan peniaga di premis terbabit.

Ada di antara mereka yang berpakaian koyak rabak hingga menampakkan bahagian yang sepatutnya ditutup, selain ada juga yang memegang kayu sambil berjalan seperti ingin memukul seseorang.

Tinjauan Edisi Utara di sekitar Mergong, di sini, mendapati seorang lelaki kurang siuman menjadikan tempat menunggu bas di situ sebagai tempat tinggal hingga mengganggu keselesaan orang ramai yang ingin menunggu pengangkutan awam itu.
Selain meletakkan pelbagai barangan di bangku tempat menunggu bas itu, dia dilihat tidur di tempat duduk menyebabkan orang ramai tidak berani menunggu bas di situ.

Di pekan Langgar, dekat sini pula, seorang remaja tidak berbaju sering dilihat mundar mandir di jalan utama yang sibuk dan melintas sesuka hati hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Orang ramai yang ditemui menyatakan rasa bimbang kerana pihak berkuasa membiarkan golongan itu berkeliaran di tempat awam.

Seorang peniaga, Ibrahim Mahmud, 62, berkata, dia selalu didatangi oleh orang kurang siuman yang meminta makanan di gerainya.

"Saya tidak kisah memberikan sedikit makanan kepada mereka kerana menganggap ia satu sedekah, tetapi ramai pelanggan tidak berpuas hati apabila orang kurang siuman itu duduk berhampiran mereka.

"Mereka bimbangkan keselamatan keluarga yang menjamu selera kerana khuatir golongan terbabit bertindak di luar jangkaan termasuk mengganggu dan mencederakan orang lain," katanya.

Noraini Abdul Hakim, 25, berkata, dia tidak selesa apabila ada seorang lelaki kurang siuman berpakaian koyak rabak hingga menimbulkan rasa kurang selesa mundar mandir di kawasan tumpuan awam.

"Saya harap pihak berkuasa dapat berbuat sesuatu dengan menempatkan golongan terbabit di tempat khas seperti hospital sakit jiwa bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu Pakar Perunding Kanan Psikatari Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Ahmad Rasidi M Saring berkata, kerjasama daripada waris dan orang ramai diperlukan untuk menangani masalah itu.

Katanya, jabatan itu mempunyai sebuah pasukan yang dikenali sebagai Pasukan Komuniti Khas yang membantu pesakit mental sama ada memberi rawatan di rumah atau di tempat awam.

"Kerjasama orang ramai terutama waris dalam menangani masalah ini amat penting," katanya

Sabah&Sarawak: Jalan utama merekah, putus
Oleh Johary Indan
bhnews@bharian.com.my
2010/07/02

JALAN di Kilometer 36, Jalan Kota Kinabalu-Tamparuli, terputus dua
 akibat tanah runtuh.
JALAN di Kilometer 36, Jalan Kota Kinabalu-Tamparuli, terputus dua akibat tanah runtuh.
Air bertakung di paya berhampiran, parit tersumbat punca kerosakan

TAMPARULI: Masalah air bertakung di paya berhampiran Kilometer 36, Jalan Kota Kinabalu-Tamparuli yang menyebabkan saluran parit tersumbat sejak kira-kira dua bulan lalu, menemui kemuncaknya malam Selesa lalu, apabila laluan itu merekah dan terputus dua.

Selasa, 6 Julai 2010

Johor: Diancam denggi, busuk
Oleh Mohamad Fadh Rahmat

2010/07/07

Penduduk Taman Desa Permai mahu pihak berkuasa segera selesai masalah

JOHOR BAHRU: Macam-macam masalah! Itu rintihan lebih 400 keluarga Taman Desa Permai, Kangkar Pulai di sini yang mahu campur tangan pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah sistem perparitan yang menghantui kehidupan mereka.

Tinjauan Edisi Johor mendapati selain sistem perparitan yang tidak sempurna sehingga mendatangkan masalah pembiakan nyamuk Aedes, penduduk juga dibelenggu dengan masalah pencemaran bau saban waktu berpunca dari loji kumbahan najis yang didakwa penduduk tidak berfungsi.

Utara: Jawatankuasa Mesra Masyarakat perlu diaktif


2010/07/06

SEBERANG JAYA: Jawatankuasa Mesra Masyarakat perlu diaktifkan semula di sekolah bagi menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah.

Jawatankuasa itu yang membabitkan penyertaan masyarakat sekitar sekolah seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu dengan sekolah bagi membendung masalah berkenaan, pernah diwujudkan pada tahun 60-an.

Sabah & Sarawak: Daif
Oleh Misiah Taib

2010/07/07

Penduduk Kelabit di Tanah Tinggi Bario rayu kemudahan asas

BARIO: Keadaan jalan tanah yang becak, mendap dan berlubang sudah menjadi asam garam kehidupan penduduk Kelabit di kawasan Tanah Tinggi Bario di Utara Sarawak.

Tidak seperti kawasan lain, tidak ada seinci pun jalan berturap di Bario, walaupun kawasan itu terkenal sebagai destinasi pelancongan yang unik dan menarik serta amat terkenal dengan beras Bario, serta mampu menarik kunjungan ramai pelancong Eropah, terutama dari England, Australia dan Denmark.
Setiap pengunjung yang datang ke situ pasti terkejut, kerana sebaik tiba di Lapangan Terbang Bario, mereka akan terus melihat jalan becak dipenuhi air dan selut di hadapan lapangan terbang itu.
Dengan hanya pesawat kecil Twin Otter boleh mendarat di landasan kecil lapangan terbang itu, pengunjung perlu menaiki kereta pacuan empat roda ketika di Bario, kerana kenderaan biasa tidak boleh digunakan di situ, berikutan semua jalannya adalah jalan tanah yang becak.

Timur: Pembuat arang tradisi
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2010/06/30

Perusahaan berkubur jika tiada generasi muda teruskan minat

PERMAISURI: Membuat arang mungkin bukan satu perusahaan 'glamor' atau menjanjikan pulangan segera yang lumayan tetapi keluarga Aziz Ngah, 62, di Kampung Saujana di sini, mungkin satu-satunya masih aktif membuat arang kayu dan mungkin menjadi keluarga terakhir meneruskan perusahaan pengeluaran bahan bakar itu yang digunakan sejak zaman berzaman di negeri ini.
Mereka mengusahakan perniagaan itu selepas berhenti bekerja dengan bekas majikannya dikenali Che Muda Alor Lintah, seorang usahawan arang kayu di Kampung Ibrahim Fikri yang meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu dan perusahaan itu tidak diteruskan oleh ahli keluarganya.