Selasa, 6 Julai 2010

Utara: 15 tahun berdepan banjir
Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/06/29

800 murid, 70 guru SK Tambun resah bila hujan lebat

IPOH: Lebih 800 murid dan 70 guru Sekolah Kebangsaan Tambun (SKT) di sini, resah setiap kali hujan lebat kerana bimbang sekolah itu akan ditenggelami air hingga mengganggu sesi pembelajaran.
Masalah banjir kilat itu bukan baru membelenggu warga sekolah terbabit, malah sudah lebih 15 tahun mereka berdepan situasi sukar setiap kali hujan lebat turun.
Dalam kejadian terbaru jam 6 petang Ahad lalu, hujan lebat yang turun hampir tiga jam menyebabkan paras air Sungai Pinji yang terletak berhampiran sekolah itu melimpah ke tebing dan membanjiri kawasan sekitar
sekolah.

Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Dawiah Mat Isa, 53, berkata air mula naik ke paras hampir satu meter dan selepas surut, masalah lain pula dihadapi pihak sekolah kerana terpaksa membersihkan lumpur dan sampah sarap.

Katanya, beliau resah setiap kali hujan lebat kerana terpaksa memikirkan kesan yang terpaksa dihadapi oleh warga sekolah.

"Akibat banjir ini, lapan daripada 32 kelas yang terletak di tingkat bawah terjejas teruk dan kami terpaksa membersihkan secara bergotong-royong bersama murid-murid.
"Kelas yang menempatkan murid PraSekolah dan Kelas Pendidikan Khas mengalami kerosakan teruk dan banyak perkakas serta buku turut musnah," katanya di sini.

Berita Harian yang meninjau sekolah itu mendapati guru dan murid-murid termasuk menggunakan masa persekolahan untuk membersihkan sisa banjir kilat.

Dawiah berkata, banjir kilat Ahad lalu adalah yang kedua berlaku di sekolah itu tahun ini, selepas kali pertama pada hujung Februari lalu yang turut merosakkan hampir kesemua perkakas, termasuk barangan elektrik di tingkat bawah.

Katanya, kejadian banjir bukan saja membimbangkan guru-guru, malah memberi kesan kepada murid tahun enam yang bakal menghadapi peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 13 Julai ini.

"Secara tidak langsung, persiapan guru untuk memperkemaskan murid-murid menghadapi peperiksaan itu juga akan terganggu berikutan masalah yang dihadapi lebih sedekad ini.

“Semuanya musnah dengan sekelip mata dan ia sedikit sebanyak mengganggu aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) kerana masing-masing sibuk membersihkan kelas yang dipenuhi lumpur itu,” katanya.

Sementara itu, guru Penyelaras Pendidikan Khas, Ainun Nur Abdul Rahman, berkata murid terpaksa dibenarkan bercuti memandangkan keadaan kelas yang tidak selesa dan kotor.

Katanya, sebelum ini beberapa langkah sudah diambil seperti kerja mendalamkan sungai untuk mengelak daripada berlakunya banjir kilat tetapi tidak berhasil.

"Kami berharap supaya sistem perparitan sungai dibaiki segera supaya tidak tersumbat dan dapat mengelak daripada kejadian banjir seperti ini daripada terus menghantui kami," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan