Sabah & Sarawak: Daif
Oleh Misiah Taib
2010/07/07
Penduduk Kelabit di Tanah Tinggi Bario rayu kemudahan asasBARIO: Keadaan jalan tanah yang becak, mendap dan berlubang sudah menjadi asam garam kehidupan penduduk Kelabit di kawasan Tanah Tinggi Bario di Utara Sarawak.
Tidak seperti kawasan lain, tidak ada seinci pun jalan berturap di Bario, walaupun kawasan itu terkenal sebagai destinasi pelancongan yang unik dan menarik serta amat terkenal dengan beras Bario, serta mampu menarik kunjungan ramai pelancong Eropah, terutama dari England, Australia dan Denmark.
Tidak hairanlah hanya ada kereta pacuan empat roda di jalan raya di Bario, selain motosikal yang ibarat 'unta' bagi penduduk di situ kerana sepanjang jalan mereka perlu melalui jalan yang begitu mencabar keadaannya.
Seorang penduduk tempatan, Stephen Baya, 47, berkata ketika ini hanya ada 56 kereta pacuan empat roda digunakan penduduk di Bario dan mereka juga berdepan dengan masalah jika musim hujan.
"Kenderaan pacuan empat roda kami juga kerap terperangkap dalam selut, selain kerap rosak kerana jalan terlalu teruk dengan absorber kenderaan itu terpaksa diganti hampir setiap tahun.
"Kami juga memperbaiki sendiri kenderaan dengan membeli alat ganti dari Miri, kerana tiada kedai mekanik di sini," katanya.
Selain dengan jalan udara dari Miri yang mengambil masa kira-kira 40 minit, orang ramai juga boleh datang ke Bario dari Miri melalui jalan balak menggunakan kereta pacuan empat roda, yang perjalanannya mengambil masa sehingga 17 jam.
Malah perjalanan pasti lebih lama jika musim hujan dan jalan becak kerana pemandu perlu berhenti sehingga hujan berhenti berikutan keadaan jalan tanah yang licin dan bergunung ganang merbahaya untuk dilalui jika basah.
Presiden Rurum Kelabit Sarawak, Gerawat Gala, berkata tender projek jalan raya sejauh kira-kira 10 kilometer dari Lapangan Terbang ke Bario Asal sudah pun diluluskan dengan pembinaannya baru bermula.
"Kita jangka sama ada menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan penduduk di Bario boleh menikmati sekurang-kurangnya 10 kilometer jalan bersimen," katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati kerja-kerja menimbun tanah terutama di kawasan becak sedang dijalankan, namun kerja-kerja yang dijalankan agak perlahan dengan hanya sebuah jentolak digunakan.
Ahli Parlimen Bukit Mas, Henry Sum Agong, bagaimanapun berkata projek jalan dari Lapangan Terbang ke Bario asal itu hanya tender pertama, dengan tender kedua bagi projek jalan sehingga ke Pa'Ukat dan Pa'Umor akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Beliau berharap penduduk di Bario bersabar kerana kerajaan tidak mengabaikan keperluan mereka dengan projek jalan raya tetap akan dibina di situ.
Tanah tinggi Bario yang terletak kira-kira 2,000 meter di atas paras laut, dengan ia turut terkenal dengan nanas yang manis dan garam Bario selain beras Bario.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan