Johor: Diancam denggi, busuk
Oleh Mohamad Fadh Rahmat
2010/07/07
Penduduk Taman Desa Permai mahu pihak berkuasa segera selesai masalahJOHOR BAHRU: Macam-macam masalah! Itu rintihan lebih 400 keluarga Taman Desa Permai, Kangkar Pulai di sini yang mahu campur tangan pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah sistem perparitan yang menghantui kehidupan mereka.
Tinjauan Edisi Johor mendapati selain sistem perparitan yang tidak sempurna sehingga mendatangkan masalah pembiakan nyamuk Aedes, penduduk juga dibelenggu dengan masalah pencemaran bau saban waktu berpunca dari loji kumbahan najis yang didakwa penduduk tidak berfungsi.
Penduduk juga dibelenggu masalah pencemaran bau dari loji kumbahan najis yang tidak berfungsi dengan baik dan menyebabkan penduduk terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan terutama pada waktu hujan, aduan sudah dikemukakan tetapi belum ada tindakan bagi menyelesaikan masalah berkenaan, katanya di sini.
Musa Sitam, 50, pula mendakwa pemaju perumahan fasa kedua membabitkan lebih 100 buah kediaman di taman terbabit secara sengaja melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dengan menghalakan laluan air kumbahan kediaman baru berkenaan ke sungai berdekatan.
Katanya, sepatutnya saluran kumbahan kediaman menuju ke loji kumbahan tetapi kontraktor pemaju mengambil jalan mudah dengan membina saliran terus ke punca sungai yang menuju Ulu Pulai.
Saya tidak tahu mengapa mereka melakukan perbuatan demikian sedangkan sepatutnya segala kumbahan perlu ditapis dalam loji kumbahan tetapi sebaliknya dilepaskan ke sungai yang menuju ke Ulu Pulai, katanya.
Razak Bujang, 50, berkata, sikap segelintir pemilik rumah yang tidak bertanggungjawab dengan membiarkan kawasan kediaman ditumbuhi semak-samun menjadi punca kejadian penduduk terserempak dengan haiwan berbisa di sekitar kediaman mereka.
Apa yang membuatkan penduduk di sini marah adalah sikap segelintir pemilik rumah yang dapat rumah tetapi tidak selenggara dengan baik sehingga timbul semak samun, jiran terpaksa membersihkan kawasan terbabit bagi mengelakkan menjadi sarang ular.
Ada kejadian rumah penduduk dimasuki ular dan biawak kerana habitat haiwan terbabit berada dalam semak samun di rumah yang ditinggalkan penduduk," katanya.
Abdul Rais Yahya, 60, berkata, penduduk meminta pemaju perumahan terbabit mengambil tindakan wajar bagi memikirkan penyelesaian berhubung tangki air yang sudah kosong tetapi masih bersisa air hujan yang dipercayai menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Kami berharap agar tangki air yang sudah tidak berfungsi dirobohkan oleh pemaju kerana menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, katanya.
Katanya, pagar sebuah rumah jana kuasa milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang rosak juga menjadi ancaman kepada kanak-kanak yang bermain di situ tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
TNB perlu membina semula pagar di rumah jana kuasa mereka kerana dibimbangi akan mendatangkan kemalangan elektrik sekiranya pintu rumah jana kuasa berkenaan dipecahkan dan dimasuki kanak kanak yang ingin tahu apa yang berada dalam rumah berkenaan, katanya.
Hamidah Wahab, 46, berkata, penduduk merayu kerajaan membina sebuah dewan bagi kegunaan penduduk kerana dewan sedia ada hanya mampu menampung 20 orang pada satu masa.
Susah kalau tidak ada dewan, rumah penduduk pun sempit jika mahu mengadakan kerja kahwin terpaksa menggunakan balai, jika ada dewan lebih besar lebih baik.
Sejak tahun 2006 penduduk merayu untuk kemudahan dewan kerana sudah ada tapak tanah tetapi terpaksa menunggu sehingga hari ini, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan