Sabah&Sarawak: Peluang kedua
Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/06/29
Pelajar Sekolah Henry Gurney masuk IPTA dibebas berlesen
KENINGAU: "Ibu mana yang tidak gembira apabila anak yang terjerumus ke lembah gejala sosial akhirnya berubah dan diberi ruang membina masa depan. Saya harap anak saya sedar, bukan semua orang mendapat peluang kedua."
Kelegaan itu diucap seorang wanita berusia lewat 40-an, ibu kepada seorang daripada tiga pelajar Sekolah Henry Gurney di sini, yang mendapat pembebasan secara berlesen.
Doa yang tidak putus-putus supaya anak bongsu daripada empat beradik itu berubah sikap akhirnya dimakbulkan dan disifatkan ibunya sebagai pemberian paling bermakna dalam hidup mereka sekeluarga.
“Dulu dia kerap keluar bersama rakan hingga terbabit dalam aktiviti tidak sihat.
“Oleh kerana mudah terpengaruh dengan rakan, anak saya terjebak dengan aktiviti tidak sihat termasuk mencuri,” katanya ketika ditemui Berita Harian.
Anaknya mendapat pelepasan secara berlesen bersama dua penghuni Sekolah Henry Gurney di sini, baru-baru ini.
Ketiga-tiganya terbabit dalam kes juvana iaitu dua mencuri, manakala seorang lagi kes memukul. Mereka dibebaskan secara berlesen selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Mereka adalah antara lapan pelatih yang memperoleh keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun lalu.
Lesen pelepasan diserahkan Pengarah Penjara Sabah, Mohd Sabri Yaacob, baru-baru ini.
Sekolah di kawasan seluas kira-kira 34 hektar di Kilometer 3, Jalan Nabawan-Keningau itu memulakan program akademik sejak Jun 2007, sejajar penekanan Jabatan Penjara terhadap bidang akademik di Sekolah Henry Gurney seluruh negara dan Sekolah Integriti di beberapa penjara terpilih.
Ia mempunyai 10 tenaga pengajar dan 137 penghuni setakat ini.
Pencapaian SPM memuaskan anaknya membuatkan ibu bekas pelatih itu yakin keputusan memasukkan darah daging sendiri ke Sekolah Henry Gurney sebagai tepat walaupun berat dilakukan.
Ibu seorang lagi pelatih yang mendapat keputusan terbaik iaitu 5A 2B berkata, beliau menghantar anaknya ke sekolah itu kerana tidak tahan pergaulannya dengan kumpulan yang terbabit dengan gejala tidak sihat.
“Selepas disabitkan dengan kes juvana, saya rela dia masuk ke sekolah ini daripada berada di luar dan terus terpengaruh dengan gejala tidak sihat,” katanya.
Bapa seorang lagi bekas pelatih yang dibebaskan, turut mengakui salah pergaulan menyebabkan anaknya terbabit dengan jenayah.
“Saya mengetahui dia tidak bersekolah selepas mendapat surat dari sekolah lamanya ketika di Tingkatan Empat dan melarikan diri dari asrama.
“Saya diberitahu dia lari ke Kota Kinabalu untuk bekerja sebelum terbabit dalam beberapa kes termasuk memukul orang dan mabuk,” katanya mengenai anak kesembilan daripada 11 beradik itu.
Sementara itu, bekas pelatih yang mendapat keputusan 5A dan 2B bagi SPM tahun lalu, mengakui tidak dapat membayangkan masa depannya jika terus hanyut dengan kegiatan negatif.
“Pengaruh di luar amat kuat. Saya mesti cekal melawan dan tumpukan perhatian terhadap pelajaran,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan