Rabu, 7 Julai 2010

Utara: Bimbang, fobia
Oleh Rahmat Othman
bhnews@bharian.com.my
2010/07/02

Kehadiran ramai orang kurang siuman dikhuatiri ganggu keselamatan masyarakat

ALOR SETAR: Kehadiran ramai orang dipercayai kurang siuman yang mundar mandir di sekitar bandar raya ini bukan saja boleh menjejaskan pemandangan, malah dikhuatiri boleh mengancam keselamatan orang ramai.
Orang ramai bimbang kemungkinan mereka bertindak di luar jangkaan, termasuk mengganggu penduduk yang berurusan di sekitar bandar raya ini, terutama wanita dan kanak-kanak.
Tinjauan Edisi Utara mendapati orang kurang siuman terbabit kerap menjadikan kawasan kaki lima dan tempat menunggu bas atau teksi sebagai tempat mereka melepak atau tidur, selain menagih simpati mendapatkan makanan atau rokok.

Malah, ada juga di antara mereka yang melepak di kaki lima bangunan sehingga menakutkan orang yang lalu lalang dan peniaga di premis terbabit.

Ada di antara mereka yang berpakaian koyak rabak hingga menampakkan bahagian yang sepatutnya ditutup, selain ada juga yang memegang kayu sambil berjalan seperti ingin memukul seseorang.

Tinjauan Edisi Utara di sekitar Mergong, di sini, mendapati seorang lelaki kurang siuman menjadikan tempat menunggu bas di situ sebagai tempat tinggal hingga mengganggu keselesaan orang ramai yang ingin menunggu pengangkutan awam itu.
Selain meletakkan pelbagai barangan di bangku tempat menunggu bas itu, dia dilihat tidur di tempat duduk menyebabkan orang ramai tidak berani menunggu bas di situ.

Di pekan Langgar, dekat sini pula, seorang remaja tidak berbaju sering dilihat mundar mandir di jalan utama yang sibuk dan melintas sesuka hati hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Orang ramai yang ditemui menyatakan rasa bimbang kerana pihak berkuasa membiarkan golongan itu berkeliaran di tempat awam.

Seorang peniaga, Ibrahim Mahmud, 62, berkata, dia selalu didatangi oleh orang kurang siuman yang meminta makanan di gerainya.

"Saya tidak kisah memberikan sedikit makanan kepada mereka kerana menganggap ia satu sedekah, tetapi ramai pelanggan tidak berpuas hati apabila orang kurang siuman itu duduk berhampiran mereka.

"Mereka bimbangkan keselamatan keluarga yang menjamu selera kerana khuatir golongan terbabit bertindak di luar jangkaan termasuk mengganggu dan mencederakan orang lain," katanya.

Noraini Abdul Hakim, 25, berkata, dia tidak selesa apabila ada seorang lelaki kurang siuman berpakaian koyak rabak hingga menimbulkan rasa kurang selesa mundar mandir di kawasan tumpuan awam.

"Saya harap pihak berkuasa dapat berbuat sesuatu dengan menempatkan golongan terbabit di tempat khas seperti hospital sakit jiwa bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu Pakar Perunding Kanan Psikatari Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Ahmad Rasidi M Saring berkata, kerjasama daripada waris dan orang ramai diperlukan untuk menangani masalah itu.

Katanya, jabatan itu mempunyai sebuah pasukan yang dikenali sebagai Pasukan Komuniti Khas yang membantu pesakit mental sama ada memberi rawatan di rumah atau di tempat awam.

"Kerjasama orang ramai terutama waris dalam menangani masalah ini amat penting," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan