Negeri Sembilan: Lokasi 'panas'
2010/06/30
Kampung Sungai Sekawang yang bersemak, tersorok jadi tempat mendarat pendatang haram PORT DICKSON: Beberapa kawasan di sepanjang perairan daerah ini dilaporkan dikenal pasti sebagai lokasi pendaratan haram pendatang tanpa izin Indonesia oleh sindiket penyeludupan manusia yang menguruskan perjalanan keluar masuk ke negara ini secara tidak sah.
Rata-rata penduduk yang ditemui baru-baru ini mempunyai pengalaman melihat sendiri kehadiran pendatang tanpa izin dengan pelbagai cara, namun mereka mendakwa keadaan semakin reda hasil operasi berterusan pihak berkuasa.
Penduduk kampung, Abdul Rahman Manap, 42, ketika ditemui mendakwa, pantai berhampiran kampung itu memang terkenal sebagai tempat pendaratan pendatang tanpa izin sekitar tahun 90-an.
Beliau yang bekerja sebagai nelayan ketika itu mendakwa pernah melihat tekong dipercayai warga Indonesia menurunkan lebih 100 orang dari beberapa bot sebelum mengarahkan mereka berenang ke pantai.
“Selepas sampai di pantai kira-kira jam 2 atau 3 pagi, mereka akan memakai pakaian kering dan menaiki lori yang menunggu di tepi jalan besar sebelum dibawa ke destinasi masing-masing.
“Ada juga pendatang yang menunggu giliran di sini untuk pulang ke tempat asal, tapi jumlah mereka agak kecil, iaitu kira-kira 10 orang.
“Boleh dikatakan setiap hari ada pendatang tanpa izin datang ke sini atau pulang ke negara asal menggunakan laluan ini,” katanya yang mendakwa kegiatan penyeludupan manusia ketika itu sangat rancak seolah-olah sindiket terbabit tidak takutkan undang-undang.
Bagaimanapun dengan kewujudan banyak agensi penguatkuasaan sejak kebelakangan ini, kegiatan haram berkenaan semakin berkurangan dan kini beliau mendakwa tiada lagi aktiviti seumpama itu dilihat penduduk di kawasan itu.
“Saya percaya mereka takut untuk turun di sini kerana APMM, polis dan tentera kerap menjalankan rondaan di pantai dan laluan kampung ini,” katanya.
Sementara itu pesara, Zalid Jantan, 61, mengakui yang perairan dan pantai di sini pernah terkenal sebagai tempat pendaratan pendatang tanpa izin dari Indonesia.
Namun, katanya, sejak sebuah pusat peranginan dibina di sini dan jalan sepanjang pantai dinaik taraf, tiada lagi pendatang menggunakan perairan di sini.
“Penduduk berasa lega kerana tiada lagi gangguan pada waktu malam seperti sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan lebih ketat di pantai Port Dickson mungkin menyebabkan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin beralih ke negeri jiran yang mempunyai pantai lebih panjang dan terpencil
Tiada ulasan:
Catat Ulasan