Johor: Bot usang dibiar tersadai
Oleh Sahlina Sahkirin
bhnews@bharian.com.my
2010/06/30
Jejas keindahan Bandar Pinggir Sungai yang baru dibangunkan
MERSING: Sikap pemilik yang membiarkan bot usang mereka tersadai di sepanjang Sungai Mersing didapati menjejaskan pemandangan, malah mencacatkan keindahan Bandar Pinggir Sungai yang baru dibangunkan untuk tarikan pelancong.
Bot usang yang tidak mempunyai enjin itu tersadai di sepanjang sungai di bandar tepi sungai berkenaan oleh pemilik yang tak bertanggungjawab, sekali gus menghalang usaha kerajaan untuk menjadikan Sungai Mersing sebagai antara tarikan pelancong ke sini.
Tinjauan mendapati beberapa bot usang yang dipercayai ditinggalkan oleh pemiliknya sejak lebih tiga tahun lalu.
Sehubungan itu, orang ramai meminta pihak berkuasa mengalihkan bot berkenaan atau memusnahkan bot berkenaan bagi membersihkan kawasan itu.
Selain itu, sampah saraf di kawasan itu juga perlu dibersihkan segera kerana mencacatkan pemandangan.
Sebuah jeti usang di kawasan kedai baru di Bandar Tepi Sungai Mersing dekat pekan berkenaan perlu diroboh segera kerana ia menjejaskan keindahan kawasan itu.
Difahamkan, jeti haram berkenaan yang beroperasi lebih 50 tahun lalu kini menanti masa untuk roboh kerana semua struktur papan sudah reput.
Penduduk, Ismail Ahmad, 35, kesal dengan sikap pemilik bot usang berkenaan kerana membiarkan bot mereka yang boleh mencemarkan pemandangan di situ.
“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera kerana masalah itu sudah lama terbiar. Jika ia dibiarkan boleh menjejaskan nama baik daerah ini yang terkenal di kalangan pelancong asing sebagai bandar pelancong terkemuka di negeri ini," katanya.
Penduduk, Amisah Abdullah, 27, berkata pihak berkuasa perlu merobohkan jeti haram berkenaan bagi membersihkan imej kawasan berkenaan.
“Sepatutnya kawasan itu perlu dibersihkan kerana ia boleh menjejaskan aktiviti yang dilaksanakan di kawasan ini, " katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan