Selasa, 6 Julai 2010

Timur: Pembuat arang tradisi
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2010/06/30

Perusahaan berkubur jika tiada generasi muda teruskan minat

PERMAISURI: Membuat arang mungkin bukan satu perusahaan 'glamor' atau menjanjikan pulangan segera yang lumayan tetapi keluarga Aziz Ngah, 62, di Kampung Saujana di sini, mungkin satu-satunya masih aktif membuat arang kayu dan mungkin menjadi keluarga terakhir meneruskan perusahaan pengeluaran bahan bakar itu yang digunakan sejak zaman berzaman di negeri ini.
Mereka mengusahakan perniagaan itu selepas berhenti bekerja dengan bekas majikannya dikenali Che Muda Alor Lintah, seorang usahawan arang kayu di Kampung Ibrahim Fikri yang meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu dan perusahaan itu tidak diteruskan oleh ahli keluarganya.
Berikutan itu, untuk menyara keluarga, Aziz dan anaknya, Ayub, 38, dan anak saudaranya, Yahya Idris, 42, mengambil keputusan membuka sendiri perusahaan membuat arang di kampung itu, berbekalkan pengalaman yang ada sebagai bekas pekerja pembuat arang sebelum ini.

Aziz ketika ditemui berkata, di Kampung Saujana hanya beliau, anaknya dan Yahya saja masih aktif membuat arang yang dibekalkan kepada seorang pemborong tetap di Bachok, Kelantan sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, apa yang membimbangkan keluarga itu untuk meneruskan perusahaan itu ialah ketika ini bekalan kayu gelam yang diguna untuk membuat arang semakin berkurangan sekali gus pengeluaran arang juga semakin kurang.

“Saya mendapat bekalan kayu gelam di sekitar Kampung Saujana, tetapi sejak kebelakangan ini kayu itu semakin kurang dan hanya tinggal pokok gelam yang kecil dan tidak sesuai dijadikan arang.
“Setiap bulan saya menghasilkan kira-kira 4,000 kampit arang dan dijual kepada pemborong tetap di Bachok pada harga RM1.40 sekampit,” katanya ketika ditemui di tempat membuat arang di Kampung Saujana dekat sini, baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai empat rumah dandang atau lebih dikenali dengan panggilan 'gok' iaitu tempat pembakaran kayu gelam untuk menghasilkan arang, mengakui masa depan perusahaan itu mungkin terkubur kerana tidak ada generasi sekarang terutama anak muda yang berminat mengusahakannya.

Pokok gelam adalah antara kayu yang sesuai dijadikan arang, selain kayu bar, kayu kelat, kayu balon ayam dan kayu batu, tetapi arang yang bermutu adalah dibuat dengan kayu bakau yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM18 sekilogram.

Difahamkan Jabatan Perhutanan Terengganu mengharamkan penggunaan kayu bakau termasuk untuk membuat arang kecuali mendapat permit kawasan menebang pokok bakau. Ketika ini permit menebang kayu bakau dibekukan oleh jabatan berkenaan di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Yahya yang mengusahakan pengeluaran arang di Kampung Pangkalan Aman, berkata perusahaan membuat arang adalah satu-satunya sumber pendapatan keluarganya sejak 10 tahu lalu dan diusahakan secara bersama oleh seluruh ahli keluarganya.

Katanya, beliau menggunakan kira-kira lapan tan sebulan kayu gelam untuk menghasilkan arang yang dibakar dengan mengambil masa selama dua minggu bagi setiap satu rumah dandang.

“Saya juga membekalkan arang kepada pemborong yang sama di Bachok. Tetapi, berbanding harga yang dijual pada RM1.40 sen bagi satu kampit seberat kira-kira dua kilogram, untungnya tidaklah sebesar mana apabila ditolak dengan kos yang terbabit termasuk bahan api untuk menebang pokok gelam dan traktor untuk mengangkut kayu, harga beg plastik untuk mengisi arang dan upah kerja.

“Tetapi, apa boleh buat hanya inilah yang dapat saya lakukan dengan pengalaman yang ada dalam bidang membuat arang. Walaupun penat melakukan kerja ini dan sentiasa bermain dengan api, tetapi saya seronok kerana kami bekerja dengan ahli keluarga,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan