Utara: Gelanggang 'hiasan'
Oleh Omar Osman
bhnews@bharian.com.my
2010/06/30
SUNGAI PETANI: Sikap tidak bertanggungjawab kontraktor yang gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan Jabatan Belia dan Sukan (JBS), menyebabkan sebuah gelanggang sukan rakyat yang dibina di sini tidak dapat digunakan sejak beberapa bulan lalu.
Tinjauan Berita Harian mendapati kontraktor tidak mengikut spesifikasi kerana ukuran saiznya kurang satu meter daripada yang ditetapkan, selain lampu limpah juga tidak dapat digunakan apabila kontraktor utama tidak membayar wang pendahuluan bekalan elektrik kepada subkontraktor.
Jurucakap JBS Daerah Kuala Muda, berkata kemudahan itu adalah satu daripada enam gelanggang sukan rakyat yang dibina melalui peruntukan Kementerian Belia dan Sukan hujung tahun lalu dan sepatutnya siap dalam tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun, katanya, hanya projek gelanggang di Kampung Keda Bukit Tukang Jusoh saja yang menghadapi masalah, manakala kemudahan lain siap mengikut tempoh ditetapkan.
Katanya, pihak berkuasa sudah memberi amaran kepada kontraktor dan subkontraktor terbabit supaya memperbetulkan keadaan.
"Mereka berjanji akan menyiapkan gelanggang itu dalam tempoh seminggu dan jika gagal, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk kampung itu, Rohaizam Ismail, 40, yang ditemui berkata, mereka kecewa kerana gelanggang sukan itu tidak dapat digunakan, walaupun sudah siap sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, kemudahan itu wajar disiapkan segera bagi membolehkan penduduk, khususnya remaja bersukan, untuk memenuhi waktu lapang dan menggalakkan cara hidup sihat.
"Kerajaan perlu memastikan projek itu disiapkan supaya tidak berlaku pembaziran jika tidak dapat digunakan nanti," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan