Selasa, 6 Julai 2010

Johor: Jamu arak tepi pantai
Oleh Sahlina Sahkirin
bhnews@bharian.com.my
2010/06/29


sebelum  -  selepas

<strong>BEBERAPA pengunjung kesal keindahan pantai Bandar 
Mersing kini dicemari sampah-sarap.</strong> <strong>BOTOL arak ditinggalkan di tempat duduk di kawasan 
pantai Bandar Mersing.</strong>
Perbuatan segelintir remaja buang sampah, botol arak dikhuatiri jejas kedatangan pelancong ke Mersing

MERSING: Sikap segelintir remaja yang melakukan perbuatan tidak bermoral menyebabkan populariti dan keindahan pantai Bandar Mersing tercemar, sekali gus menjejaskan tarikan di kalangan pelancong.
Perbuatan remaja yang berdua-duaan, malah ada yang dipercayai minum minuman keras kerana bekas botol dibiarkan bersepah di situ ternyata memburukkan lagi keadaan.
Sehubungan itu, penduduk meminta pihak berkuasa membanteras perbuatan itu daripada berleluasa kerana boleh memberi kesan buruk kepada remaja terbabit.

Mereka percaya selagi perbuatan meminum minuman keras yang dilakukan di kalangan remaja yang masih di bangku sekolah itu tidak dibanteras, ia boleh mempengaruhi remaja lain.


Tinjauan di pantai Bandar Mersing mendapati banyak botol minuman keras yang dipercayai diminum remaja termasuk pada waktu malam.

Mereka meninggalkan botol minuman keras itu di kawasan tempat duduk di pantai berkenaan dan membuang sampah sesuka hati menyebabkan kawasan itu kotor.
Beberapa penduduk yang ditemui ketika sedang bersenam di pantai itu berpendapat perbuatan itu bukan saja boleh merosakkan masa depan diri, malah keluarga remaja terbabit.

Penduduk juga meminta pihak berkuasa supaya dapat membanteras sikap membuang sampah merata-rata tempat di kawasan pantai berkenaan sedangkan banyak tong sampah disediakan.

Penduduk, Azira Rahim, 45, berkata perbuatan remaja terbabit bukan saja merosakkan nama baik keluarga, malah masa depannya yang akan menghidap penyakit termasuk sakit jantung jika kerap meminum minuman keras murah.

"Saya agak terperanjat ketika mengunjungi pantai berkenaan apabila mendapati botol minuman keras ditinggalkan di bangku rehat di pantai berkenaan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tak bertanggungjawab, " katanya.

Beliau kesal kerana remaja yang kebanyakan pelajar dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadikan beberapa pantai peranginan dan perkelahan di daerah itu tempat mereka melakukan perbuatan tidak bermoral.

Seorang lagi pengunjung, Lam Chong Yee, 53, berkata perbuatan remaja berkenaan boleh merosakkan masa depan mereka.

Beliau bimbang, jika keluarga remaja terbabit tidak membanteras perbuatan terkutuk itu boleh menyebabkan mereka ketagih arak dan merosakkan kesihatan serta masa depan mereka.

Sehubungan itu, Lam meminta kerjasama semua pihak supaya mengawasi anak masing-masing termasuk jika keluar pada waktu malam bagi mengelak daripada terjebak dengan perbuatan terkutuk berkenaan.

“Jangan menyalahkan pihak yang berkuasa saja, sebaliknya, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab terhadap anak masing-masing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan