Rabu, 16 Jun 2010

Sabah & Sarawak: 'Syukur dapat rumah'
Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2010/06/15

Zaiton gembira dapat kediaman di Kampung Mantadak Baru

PULAU SEBATIK (Tawau): Tiada kata mampu menggambarkan kegembiraan seorang ibu tunggal apabila menikmati kehidupan sempurna di rumah baru berbanding menumpang di rumah abang yang menunggu masa menyembah bumi.
Hanya kesyukuran dapat dipanjatkannya apabila diberi peluang meneruskan kehidupan bersama ibu tercinta di rumah batu hasil sumbangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Bagi Zaiton Salleh, 43, rumah yang diterimanya di Kampung Mantadak Baru di sini kira-kira setahun lalu, adalah pemberian paling bermakna, sekali gus menyuntik semangat baru buatnya meniti kehidupan.

"Sebelum ini, saya dan ibu, Aisah Hussin, yang berumur 60-an serta seorang anak lelaki saya berusia lapan tahun terpaksa menumpang di rumah abang tidak jauh dari sini.

"Bagaimanapun, rumah itu pun hanya menunggu waktu untuk rebah. Abang saya bukannya orang senang tetapi sudi menumpangkan kami tinggal bersama keluarganya.

"Apabila nama ibu saya disenarai sebagai penerima bantuan PPRT, kami sangat gembira dan bersyukur kepada Allah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas menerima kunjungan singkat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Muis Picho di rumah barunya, kelmarin.

Dalam kunjungan itu, Muis meminta Zaiton dan ibunya menjaga rumah berkenaan sebaik mungkin kerana sumbangan kerajaan bukti keprihatinan kerajaan BN terhadap penderitaan rakyat.

Muis berkata, ibu Zaiton adalah antara penerima PPRT di pulau itu, selain lebih 40 penerima lain yang bukan setakat dapat berlindung dari panas dan hujan, malah meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.

Zaiton yang berpisah dengan suaminya beberapa tahun lalu, mengambil upah menoreh getah milik jiran bagi mencari sesuap nasi serta untuk membesarkan anak dan memelihara ibunya.

"Kalau hendak mewah, memang tiadalah tetapi cukup untuk menampung kehidupan kami tiga beranak. Saya tidak sanggup meninggalkan rumah ini untuk bekerja di luar pulau ini kerana mengenangkan ibu yang uzur," katanya.

Beliau berkata, ibunya turut menerima bantuan bulanan daripada beberapa anak lelaki dan perempuannya yang mencari rezeki di luar pulau ini.

“Alhamdulillah, walaupun kehidupan kami tidak semewah orang lain, kami tetap bersyukur kerana mampu meneruskan hidup secara ala kadar.

“Apa yang lebih bermakna ialah ingatan kerajaan terhadap kami sebagai rakyat yang kekurangan dalam segala segi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan