Selasa, 22 Jun 2010

Sabah & Sarawak: Lubang maut tunggu mangsa
Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
2010/06/23

  LUBANG besar di tengah jalan di kawasan Pujut Padang Kerbau   
hanya ditanda menggunakan kayu undang bahaya kepada pengguna jalan 
raya.
LUBANG besar di tengah jalan di kawasan Pujut Padang Kerbau hanya ditanda menggunakan kayu undang bahaya kepada pengguna jalan raya.
MBM tak ambil tindakan aduan

MIRI: Awas! Jika melalui kawasan jalan raya di Pujut Padang Kerbau dekat sini.
Tersilap langkah, motosikal atau kenderaan yang dinaiki mungkin akan jatuh ke dalam lubang mendapan terletak di tengah jalan raya, yang sentiasa sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan tanpa mengira waktu.
Tinjauan Berita Harian mendapati lubang selebar dua meter itu terletak di tengah jalan berhampiran lampu isyarat di Jalan By-Pass Miri menuju ke Terminal Bas Ekspres Pujut.

Difahamkan lubang yang terbentuk akibat mendapan tanah berhampiran parit besar di situ dan sudah lebih seminggu namun terus terbiar.

Setakat ini, hanya batang kayu diletakkan pada lubang itu sebagai penanda bagi mengelak pengguna jalan raya melanggar atau terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

Bagi kenderaan kecil, terutamanya penunggang dan pembonceng motosikal, mungkin akan mengalami kecederaan teruk sekiranya kenderaan mereka merempuh lubang berkenaan ketika melalui jalan berkenaan.
Penduduk, Randi Julai, 55, yang sering menggunakan jalan raya itu untuk ke pusat bandar berkata beliau pernah ternampak seorang pembonceng motosikal terlanggar lubang dan terjatuh di tengah jalan.

Bagaimanapun, katanya, kecederaan yang dialami lelaki itu tidak serius, namun bahagian depan motosikalnya mengalami kerosakan serius.

"Justeru, saya minta supaya pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) segera menutup lubang itu supaya keselamatan pengguna yang melalui kawasan berkenaan terjamin.

"Jangan biarkan lubang berkenaan terbiar begitu saja kerana ia boleh mendatangkan kemalangan jalan raya yang lebih serius. Ini kerana banyak kenderaan melalui kawasan ini setiap masa," katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, jalan itu juga laluan utama bagi kenderaan khususnya penduduk yang tinggal di Pujut Padang Kerbau untuk membeli pelbagai keperluan di pusat bandar.

Penduduk Padang Kerbau, Rumi Naim, 34, yang menghubungi pejabat Berita Harian memaklumkan perkara itu berkata, pihaknya sudah memanjangkan aduan mengenainya kepada pihak MBM.

Namun, katanya, sehingga sekarang usaha untuk menutup lubang besar berkenaan belum dilakukan dan ia dikhuatiri boleh mendatangkan kecelakaan kepada pengguna yang melalui kawasan itu setiap hari.

"Bagi penduduk kampung yang sudah mengetahui kewujudan lubang berkenaan ia tidak menjadi masalah. Namun, bagi pengguna jalan raya yang baru melalui kawasan ini mereka perlu berhati-hati.

"Tersilap langkah boleh terjatuh ke dalam lubang berkenaan dan cedera teruk," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan