Selasa, 22 Jun 2010

Johor: Tanjung Ketapang kian popular
Oleh Jamaludin Husin
jamaludinhusin@gmail.com
2010/06/15

Pelawat minta kerajaan kekal hutan bakau, monyet liar

MUAR: Kawasan hutan paya bakau di Pantai Muar, di Tanjung Ketapang, di sini, bukan saja dikenal pasti sebagai tempat habitat monyet liar mencari makanan, tetapi menjadi lokasi tumpuan pelawat termasuk penduduk luar kawasan.
Justeru, langkah pihak berkuasa memelihara hutan bakau di pantai Muar tidak saja menjadi kebanggaan penduduk bandar ini, malah turut diberi sanjungan pengunjung luar yang singgah di bandar ini sama ada ketika menziarahi saudara atau berbelanja.
Kehadiran monyet liar di hutan paya bakau Tanjung Ketapang turut memeriahkan lagi suasana dan tarikan pengunjung.

Pengendali laman web, Mohd Nazri Abdul Hamid, 32, dari Ampang, Selangor, berkata hutan bakau Tanjung Ketapang mempunyai ciri menarik untuk dijadikan destinasi pelancongan ke Muar.

Katanya, kawasan itu kaya dengan pemandangan semula jadi yang menarik, lebih-lebih lagi kedudukan pantai bertentangan dengan Selat Melaka.

“Johor bertuah kerana masih kaya dengan pemandangan alam semula jadi termasuk hutan bakau yang dipelihara di kawasan tertentu seperti di Muar.
“Justeru, langkah bijak jika kawasan hutan bakau ini tidak dibangunkan dengan projek baru seperti dilakukan di beberapa negeri lain kerana tindakan itu boleh menjejaskan khazanah alam semula jadi negara,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar teknologi maklumat dan komunikasi di Singapura, kelmarin.

Mohd Nazri berkata, pihak berkuasa juga tidak harus menghapuskan monyet liar yang menjadikan hutan bakau tempat kediaman kerana ia menyumbang kepada tarikan pelancong ke bandar ini.

Penduduk tempatan, Shahril Nizam Abdullah, 36, berkata langkah Majlis Perbandaran Muar (MPM) membina jeti dari tebing sungai ke Pantai Muar membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan hutan bakau lebih dekat.

Katanya, projek itu juga menjadi tarikan pengunjung tempatan dan luar sama ada untuk bersantai atau berkelah selain menikmati pemandangan semula jadi di persekitarannya.

Projek menelan kos kira-kira RM200,000 itu dibina tahun lalu dan kini menjadi tarikan.

Tinjauan Edisi Johor mendapati kawasan rekreasi Tanjung Ketapang yang sebelum ini sepi seketika berikutan tindakan pihak berkuasa memindahkan monyet liar ke Maokil, Segamat, kini kembali ceria dengan kunjungan orang ramai.

Saki baki haiwan yang tinggal membiak dan keluar untuk mendapatkan makanan daripada orang ramai tanpa mencederakan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan