Selasa, 22 Jun 2010

Melaka: Layan asmara
Oleh Mohd Zaidi Ya'acob
bhizar@bharian.com.my
2010/06/15

Pasangan memadu kasih di pantai Crystal Bay

MELAKA: Perbuatan pasangan kekasih memadu asmara tanpa segan silu di pesisir pantai Crystal Bay, Alai dekat sini, bukan saja tidak elok dipandang, malah menjadi contoh tidak baik kepada kanak-kanak yang bermain di pantai itu.
Kegiatan tidak sopan yang sering dilakukan muda-mudi dari luar kawasan pada waktu petang dan malam itu mendatangkan rasa tidak senang penduduk berhampiran terutama Taman Alai Perdana kerana sudah menjadi buah mulut orang ramai.
Kebanyakan pasangan yang memadu kasih di situ terdiri daripada golongan remaja 'mat motor' atau pelajar kolej berhampiran yang sering bergurau senda dengan pasangan serta berpelukan tanpa menghiraukan orang awam lalu-lalang.

Penduduk mendakwa pernah menasihatkan pasangan yang berasmara di situ tetapi kerana ketakutan, mereka tergesa-gesa melarikan diri tanpa sempat memasang tali pinggang atau zip seluar.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Syafaat, 30, berkata perlakuan sumbang itu sudah lama mencemar nama baik taman berkenaan dan kesucian agama Islam.

Beliau berkata, perlakuan menyakitkan mata itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, mungkin kerana musim cuti sekolah atau kurangnya pemantauan pihak bertanggungjawab terutama jawatankuasa masjid.
“Saya hairan mereka langsung tiada perasaan segan silu, malah lebih memalukan apabila kami membawa anak-anak bersiar-siar di sini yang sudah tentu menyaksikan aksi sumbang pasangan remaja berkenaan.

“Menerusi pemerhatian saya, pasangan ini dipercayai bawah umur dan masih bersekolah," katanya ketika ditemui di sini.

Tinjauan Berita Harian baru-baru ini mendapati, kebanyakan pasangan remaja berkenaan melakukan perkara sumbang antara jam 4 petang hingga 7 malam tanpa mempedulikan pengunjung lain.
Mereka seolah-olah tidak merasa malu dengan perbuatan mereka, sedangkan ramai yang melihatnya.

Penduduk bimbang penyalahgunaan tempat peranginan itu akan bertambah melarat jika tidak dibendung segera.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 31, menyifatkan tindakan remaja bercumbuan di pantai berkenaan sebagai memalukan.

Katanya, dia dan keluarga terkejut serta malu apabila suatu hari ketika membawa anak mereka untuk bersiar-siar di pantai itu terserempak dengan beberapa remaja lelaki yang berpelukan dan bercumbuan dengan teman perempuan masing-masing.

“Saya berharap, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) lebih peka terhadap perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Dengan tersiarnya berita ini, pihak yang melakukan perkara tidak sopan ini dapat menghentikan kegiatannya, malah jawatankuasa masjid akan lebih prihatin dan ibu bapa sentiasa memantau kegiatan anak masing-masing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan