Khamis, 24 Jun 2010

 

 

FELDA saman Suara Keadilan
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

2010/06/26

  AHMAD   menunjukkan  tajuk utama   Suara Keadilan    sambil 
diperhatikan    Suhaimi pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD menunjukkan tajuk utama Suara Keadilan sambil diperhatikan Suhaimi pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Akhbar PKR didakwa fitnah organisasi muflis bankrap

KUALA LUMPUR: FELDA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan kerana mengeluarkan artikel yang mendakwa organisasi itu bankrap.
FELDA juga akan mengambil tindakan sama terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin tertinggi PKR, PAS, Ketua Pengarang Suara Keadilan serta wartawannya kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam akhbar itu.
Antara pemimpin PKR termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim; Pengerusi Biro FELDA PKR Pahang, Suhaimi Said dan Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut dan pemilik permit Suara Keadilan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata penyiaran laporan bertajuk `FELDA BANGKRAP’ dalam keluaran Bil 237 bertarikh 21 hingga 29 Jun 2010 dianggap melampau kerana memudaratkan organisasi FELDA yang berusia 54 tahun.

Katanya, laporan itu jelas mahu merosakkan nama FELDA dan mencemar nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku menteri bertanggungjawab terhadap agensi kemajuan tanah itu.

“Tuduhan FELDA bankrap adalah keterlaluan. Selepas mendapat nasihat peguam, kita memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar ini. Kita akan saman mereka yang mengeluarkan kenyataan memfitnah FELDA. Jumlah saman belum ditentukan, tetapi mungkin mencecah ratusan juta kerana ia menjejaskan reputasi FELDA pada pelabur asing,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan Timbalannya, Suhaimi Zainudin. Sebelum itu, Ahmad menghadiri majlis bersama 22 Ketua Peneroka Wilayah seluruh negara di Dewan FELDA di sini.

Dalam laporannya, Suara Keadilan melaporkan tunai FELDA merosot hampir RM3 bilion dalam tempoh 2004 hingga 2009 dan mendapat ulasan daripada Anwar, Zaid, Dr Tan dan Suhaimi. Akhbar itu turut menyiarkan laporan projek bangunan baru Felda bernilai RM662 juta dan isu mengenai pulangan dividen kepada peneroka.

Sementara itu, Ahmad menjelaskan walaupun tunai FELDA berkurangan RM2.73 bilion daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2005, aset semasa dan aset tetap FELDA melonjak RM6.2 bilion, iaitu daripada RM9.17 bilion pada 2004 kepada RM15.37 tahun lalu.

Katanya, fakta itu tidak memberi gambaran FELDA bankrap kerana jumlah tunai berkurangan kerana dibelanjakan bagi melaksanakan pelbagai program sosioekonomi warga FELDA.

Beliau berkata, belanja utama FELDA dari 2004 hingga 2009 mengikut pecahan adalah RM2.41 bilion bagi pembangunan peneroka dan generasi baru, RM2.42 bilion (program tanam semula/sara hidup/bayaran pendahuluan hasil), RM603 juta (pinjaman pembesaran rumah tanpa riba).

Pembinaan Menara FELDA (RM662 juta), RM269 juta (program basmi kemiskinan Sabah), RM134 juta (projek perumahan warga FELDA) dan projek menaik taraf prasarana bekalan air bersih kawasan FELDA Pahang (RM220 juta).

“FELDA juga memiliki 340,126 hektar ladang yang menghasilkan keuntungan bersih RM1.1 bilion setahun selama enam tahun berturut-turut. FELDA mempunyai pelaburan di luar negara seperti Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Pakistan, Australia, Thailand, dan Arab Saudi,” katanya.

“Kedudukan kewangan FELDA sangat kukuh berdasarkan nisbah kewangan dan aset bersihnya sekarang berjumlah RM12.2 bilion,” katanya yang turut memaklumkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) memberikan dividen dan bonus kepada pemegang sahamnya sebanyak 14 peratus bagi 2009.

======================================

 

 

Melaka & Negeri Sembilan: Persimpangan keliru


2010/06/24

Pengguna mahu papan tanda, lampu isyarat di simpang Jalan Labu ke Nilai, Gadong

LABU: Persimpangan Jalan Labu ke Nilai dan Gadong di sini yang berbahaya dan tiada tanda amaran mencukupi menyebabkan kemalangan sering berlaku di situ sehingga penduduk sekitar menggelarkan simpang tiga itu sebagai jerangkap samar.

Keadaan lebih merbahaya kepada mereka yang jarang melalui persimpangan itu, terutama pada waktu malam.
Tinjauan Berita Harian mendapati persimpangan itu tidak mempunyai lampu jalan yang mencukupi serta tiada papan tanda amaran yang menyatakan jalan itu berbahaya atau mengingatkan pemandu supaya memperlahankan kenderaan.
Ini diburukkan lagi dengan sikap segelintir pemandu, terutama dari Seremban ke Labu dan Nilai membawa kenderaan dengan laju di persimpangan itu. Pemandu yang kali pertama menggunakan jalan itu ke Labu dan Nilai dari Seremban pasti akan tertanya-tanya sama ada perlu berhenti atau meneruskan perjalanan apabila tiba di situ.

Keadaan ini sering menyebabkan kemalangan berlaku apabila pemandu tiba-tiba memberhentikan kenderaan di simpang itu menyebabkan kenderaan yang dipandu laju di belakang tidak sempat memberhentikan kenderaan.

Dalam kejadian terbaru kelmarin, sebuah kereta dari arah Nilai dan Labu menuju ke Seremban terbabas dan melanggar papan tanda jalan dipercayai kerana pemandunya keliru dengan persimpangan itu.

Ini menyebabkan orang ramai mahu pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan persimpangan itu dengan meletakkan papan tanda amaran, lampu isyarat dan menambah lampu jalan.
Penyelia ladang kelapa sawit berdekatan, Saifullah Ravi, 40, berkata hampir setiap minggu kemalangan berlaku di situ menyebabkan penduduk bimbang kemalangan yang meragut nyawa akan berlaku jika tiada tindakan diambil.

Katanya, sebelum ini, jalan itu hanya digunakan penduduk setempat, namun perkembangan pesat Sendayan dan Labu dengan pelbagai projek besar menyebabkan jalan itu menjadi semakin sibuk.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa supaya menaik taraf persimpangan itu dengan meningkatkan ciri keselamatan untuk mengurangkan kadar kemalangan.

Kakitangan swasta, Mohd Azlan Abdul Kadir, 20, mengakui persimpangan itu berbahaya sejak dulu lagi dan sering berhati-hati apabila melalui kawasan itu.

Selain persimpangan yang mengelirukan, katanya, ternakan lembu serta kerbau yang berkeliaran di kawasan itu membahayakan pengguna jalan raya, terutama ketika waktu malam.

“Kawasan persimpangan ini perlu mempunyai lampu jalan yang lebih banyak supaya pengguna jalan raya dapat melihat dengan lebih jelas ternakan yang berkeliaran pada waktu malam,” katan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan