Khamis, 24 Jun 2010

Johor: Banjir lagi


2010/06/24

Puluhan kenderaan kakitangan awam di Wisma Persekutuan dimasuki air

JOHOR BAHRU: Hujan lebat kira-kira dua setengah jam di beberapa daerah di negeri ini, termasuk di sini dan Muar bermula jam 2 petang kelmarin, mengakibatkan ada kawasan dinaiki air sehingga setengah meter, selain menyebabkan puluhan kenderaan kebanyakan milik kakitangan awam di tempat letak kereta Wisma Persekutuan di sini, dinaiki air.

Kawasan tempat letak kereta di Wisma Persekutuan terutama bersebelahan Gerai Selera Intan di Jalan Syed Muhd Mufti di sini, paling teruk terjejas selepas pemilik kenderaan gagal mengalihkan kereta masing-masing berikutan air naik terlalu pantas.
Pada masa sama, kegagalan empat pam air milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengepam air dengan pantas dari sekitar kawasan berkenaan turut menyumbang kepada banjir kilat berkenaan.
Tinjauan Edisi Johor ke kawasan berkenaan mendapati orang ramai terpaksa memanggil trak penunda bagi mengalihkan kenderaan masing-masing ke bengkel.

Pada masa sama, mereka juga mahu MBJB mengambil tindakan proaktif mengatasi masalah banjir kilat di kawasan berkenaan kerana ia kali kedua berlaku tahun ini, selepas awal tahun ini.

Seorang peniaga, Kamaruzaman Abdul Basir, 49, berkata masalah banjir kilat di situ terlalu kerap berlaku dan dia berharap sesuatu boleh dilakukan pihak berwajib bagi mengelakkannya terus berulang.

"Sejak longkang besar dibina di situ, ia boleh mengelak banjir tetapi saya harap sistem perparitan di sini diperbaiki secara keseluruhannya," katanya.
Sementara itu, di MUAR, hujan lebat mengakibatkan beberapa batang jalan terutama sekali di jalan pintas Jambatan Kedua dinaiki air antara 0.1 meter dan 0.3 meter.

Tinjauan mendapati antara jalan yang ditenggelami air ialah di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Abong, Simpang Jeram, Jalan Datuk Kosai-Bakri dan persimpangan lampu isyarat Parit Keroma-Jalan Temenggong Ahmad.

Antara kawasan paling teruk terjejas adalah kawasan sekitar persimpangan lampu isyarat Jalan Datuk Kosai, yang ditenggelami air sedalam kira-kira 0.2 meter hingga mengakibatkan kenderaan ringan yang melalui jalan berkenaan terkandas..

Seorang pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Heng, 45, berkata masalah banjir kilat di kawasan itu berlaku disebabkan permukaan jalan yang tidak rata menyebabkan air hujan mudah bertakung, sekali gus mengundang banjir kilat.

“Laluan itu yang kerap ditakungi air menyebabkan tanah mendap dan membahayakan keselamatan pengguna terutama pemandu kereta kecil dan penunggang motosikal.

“Mereka tidak dapat menganggarkan kedalaman air yang bertakung di permukaan jalan itu apabila laluan berkenaan dilanda banjir kilat ketika hujan lebat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan