Rabu, 16 Jun 2010

Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .
Utara: Bakal diroboh?
Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
2010/06/15
Nelayan bina rumah, gerai di tanah rizab kerajaan

GEORGETOWN: Adakah episod meroboh struktur haram di atas tanah milik kerajaan negeri yang sebelum ini mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan kekecohan di Pulau Pinang bakal berulang sekali lagi?
Jika sebelum ini kedai makan atas pokok iaitu Kafe Do Re Mi dirobohkan selepas menerima aduan daripada penduduk sekitar, kini nasib sama mungkin melanda 12 nelayan di Tanjung Tokong, di sini.

Ini kerana tindakan terhadap nelayan terbabit termasuk merobohkan struktur yang mereka bina berikutan kedegilan membina bangsal nelayan, gerai dan rumah di atas tanah rizab kerajaan negeri.

Tanah rizab di Tanjung Tokong itu yang terletak bersebelahan projek Bandar Sri Tanjung Pinang sepatutnya digunakan untuk membina taman rekreasi bagi kegunaan orang ramai.

Cadangan supaya tindakan mengikut undang-undang diambil terhadap 12 nelayan berkenaan dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah dari DAP, Teh Yee Cheu dan PAS Bahagian Bukit Bendera.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir negeri, Law Choo Kiang, berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan berkenaan dalam mesyuarat Exco minggu ini.
“Saya akan membawa perkara ini dalam mesyuarat Exco minggu ini kerana selepas membuat lawatan, didapati isu ini bukan hanya membabitkan nelayan semata-mata.

“Struktur dibina mereka bukannya untuk nelayan walaupun dalam surat kepada kerajaan negeri mengatakan ia adalah bangsal menyimpan peralatan menangkap ikan, gerai dan rumah.

“Struktur cukup baik dan tidak mungkin pendapatan sebagai nelayan iaitu RM200 sebulan seperti didakwa mereka mampu untuk membina struktur seumpama itu," katanya selepas membuat lawatan ke tapak berkenaan di sini, semalam.

Tinjauan Berita Harian ke tapak itu mendapati ada beberapa infrastruktur seperti gerai, reban ayam dan rumah mempunyai sistem penghawa dingin.

Law berkata, Pejabat Tanah dan Daerah Timur Laut sudah memberikan notis kepada mereka sejak November dan Disember tahun lalu, tetapi tiada sebarang tindakan oleh nelayan berkenaan.

“Kami merasakan bangsal dibina oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang terletak berhampiran sudah mencukupi kerana saiznya besar serta mempunyai kemudahan sesuai.

“Bagaimanapun, mereka mahu juga menceroboh kawasan tanah rizab kerajaan negeri yang jelas melanggar undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, seorang daripada nelayan yang membina rumah rehat di tepi pantai itu, Razali Mydin, 53, meminta supaya kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap mereka.

“Ini kerana dulu kawasan ini adalah hutan belukar, kotor dan tidak terurus sebelum kami datang seterusnya membersihkan serta mengindahkan kawasan ini supaya lebih cantik.

“Kalau tidak kerana kami yang sanggup membelanjakan wang untuk mengindahkan landskap kawasan ini, sudah tentu keadaannya tidak seumpama ini, " katanya yang mendakwa membelanjakan RM40,000 bersama abangnya untuk mengindahkan tanah rizab terbabit.

Sehubungan itu, penduduk merayu kerjasama daripada kerajaan negeri untuk tidak mengenakan sebarang hukuman termasuk merobohkan struktur dibina oleh mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan